Tuesday 30 April 2019

Hari Pekerja 2019


Kenyataan akhbar PRM sempena Hari Pekerja 2019

Memajukan masyarakat bersama pekerja

Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia, Encik Tang Hiang Lye mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada golongan pekerja di Malaysia.

Beliau berkata bahawa di dalam satu masyarakat yang majmuk, pekerja merupakan tulang belakang dalam proses pembangunan. Oleh sebab itu kebajikan pekerja perlu dijaga.

Kenaikan kos sara hidup telah menjejaskan kehidupan pekerja

Mulai 1 September 2018 kerajaan PH menggunakan sistem SST demi menggantikan GST dan ini telah mencetus inflasi kerana SST yang telah dibayar tidak boleh dituntut balik dan kos ini perlu ditanggung oleh pengguna sendiri. Golongan pekerja merupakan “end user” dan mereka menjadi mangsa utama dalam pertukaran sistem ini. Sampai sekarang kerajaan tidak wujud apa-apa dasar untuk mengatasi masalah ini.

Skim latihan dari masa ke semasa

Perubuhan teknologi telah menukar sistem perkilangan dan perdagangan. Pekerja perlu diberi latihan dari masa ke semasa untuk mereka menyesuaikan diri dalam ekonomi yang dinamik. Latihan bukan sahaja meliputi skop kerja sahaja tetapi juga kerja-kerja lain yang berkaitan supaya pekerja tersebut dapat ditambah nilai atau mendapat “added value”. Kerajaan perlu memainkan peranan penting dengan menggalakkan semua pemilik perniagaan memberi latihan kepada pekerja mereka.

Menuju ke arah professionalisma

Semua pekerja tidak kira tempat kerja atau peringkat gaji perlu mengamalkan tabiat profesional dalam bidang mereka. Contohnya, pekerja yang buat kerja cuci mesin perlu tahu alatan yang perlu digunapakai dan juga cara mencuci supaya tidak merosakkan mesin. Pekerja bukan robot tetapi perlu belajar supaya menjadi pekerja yang berkualiti dan profesional.

Kesihatan pekerja perlu dijaga

Kesihatan pekerja amat penting dalam meningkatkan produktiviti. Pihak berkuasa perlu membuat lawatan ke kilang-kilang supaya memastikan keadaan tempat kerja bersih, selamat dan tidak mengancam kesihatan pekerja. Untuk kilang yang sudah lama beroperasi, kerajaan perlu memberi inisiatif supaya kilang dapat menggunakkan teknologi baru atau buat pengubahsuaian bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar.

Tang berkata sejak kerajaan PH menjadi kerajaan pusat, ekonomi semakin merosot dan kehidupan pekerja khususnya golongan pekerja yang berpendapatan  rendah makin terjejas. 

Parti Rakyat Malaysia menyeru supaya kerajaan mengambil berat dengan isu pekerja dan golongan yang berpendapatan rendah dan menghentikan kenyataan atau projek-projek yang tidak memberi manfaat seperti menyeru semua rakyat minum minyak sawit atau mencipta kereta terbang untuk menarik perhatian sahaja.

No comments:

Post a Comment