Monday 9 April 2018

Manifesto Parti Rakyat Selangor 2018


Manifesto Parti Rakyat Malaysia Negeri Selangor


Berilah Kami Peluang

Pengundi sekalian yang dihormati,

Parti Rakyat Malaysia (PRM) adalah salah satu parti politik yang tertua di Malaysia. Parti Rakyat diasaskan oleh Sdr Ahmad Boestamam pada 1955. Kami parti yang memperjuangkan kebajikan rakyat, kesamaan dan demokrasi. Parti Rakyat kini masuk tanding dalam pilihan raya umum yang ke-14. Oleh itu, kami berharap tuan-tuan dan puan-puan pengundi supaya berilah kami peluang untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat.

PRM memperjuangkan,

1          Keamanan dan keharmonian

Perlembagaan Persekutuan ialah asas pembinaan negara. Perlembagaan harus diperbaiki untuk melindungi dan memastikan keamanan dan keharmonian, kesaksamaan dan kesamaan layanan untuk semua  tanpa mengira kaum, agama, jantina dan taraf sosial, serta untuk masyarakat demokratik.

2          Kurangkan bergantung pada pekerja asing

Merangka  pelan sepuluh tahun untuk mengurangkan secara berperingkat pekerja asing di semua sektor. Merangka skim insentif dan ansurans untuk menggalakkan belia berkecimpungan dalam bidang kolar biru seperti sektor pembinaan.

3          Kembalikan pilihan raya kerajaan tempatan

Kerajaan tempatan ialah rang pentadbiran kerajaan Malaysia yang bawah sekali. Kerajaan tempatan ada hak mengenakan cukai dan melaksanakan undang-undang tempatan ke atas komuniti setempat.  Pilihan raya kerajaan tempatan digantung pada tahun 1964 atas sebab konfrontasi  Malaysia-Indonesia, dan  dibatalkan  pada tahun 1972. Sekarang tibalah masa untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan supaya penduduk tempatan dapat melaksanakan hak demokratik mengundi Datuk Bandar dan ahli majlis tempatan. Kembalikan pilihan raya kerajaan tempatan untuk melibatkan  calon-calon tempatan.

4          Peluang ekonomi untuk semua

Membawa kemakmuran dan peluang ekonomi kepada rakyat. Menggalakkan suri rumahtangga dan yang rakyat yang cacat bekerja dengan melaksanakan masa kerja yang fleksibel dan membenarkan mereka bekerja dari  rumah. Memberikan bantuan kewangan yang diperlukan kepada industri kecil dan sederhana untuk  memodenkan  mesin dan proses pengeluaran hasil  yang otomatik.

5          Alam sekitar yang mampan (sustainable)

Mengadakan pembangunan yang seimbang dan mampan supaya alam sekitar dibela dan memastikan alam sekitar mampan (sustainable). Mendidik orang ramai mengutamakan konsep 3R (Reduce - mengurangkan, Re-use - guna semula, dan Recycle - kitar semula) dari peringkat sekolah rendah untuk meningkatkan kesedaran sivik; memastikan kehidupan berkualiti; serta menggalakkan teknologi hijau dengan diberikan insentif oleh kerajaan negeri.

6          Mempertahankan hak-hak sivil (civil rights)

Memajukan dan kemas kini piawaian (standard) keadilan sosial berdasarkan  empati dan kepelbagaian

Hak-hak sivil termasuk penyelesaian untuk jenayah jantina dan  seksualiti, Akta Anti-kebencian (Anti-hatred Act), Akta Anti-Diskriminasi,  Akta Gangguan Seksual (Sexual Harassment Act), Hak Privasi dan semak semula amalan keinstitusian sosial untuk  mengukur peringkat kemesraan jantina dan seksualiti serta paras keselesaan individu, memastikan  kumpulan minoriti mempunyai maruah  dan hak asasi mereka.       

7          Perumahan mampu-milik

Penyertaan kerajaan dalam membekalkan rumah mampu beli untuk golongan pertengahan bawah dan rumah murah untuk golongan bawahan dan papa miskin. Laksanakan skim sewa dulu dan beli kemudian bagi membantu golongan bawahan dan miskin  membeli rumah. Kerajaan merangka sistem jual-balik pembeli rumah mampu beli dan rumah kos rendah  kepada kerajaan bagi menghapuskan kegiatan spekulasi.

8          Berganding bahu  memperbaiki keselamatan  awam

Menggalakkan amalan kesukarelaan dengan pengiktirafan oleh kerajaan negeri atau projek dianjurkan kerajaan seperti rukun tetangga untuk menjamin keselamatan komuniti.  Tubuhkan persatuan penduduk di semua kawasan perumahan  dan mempereratkan kerjasama yang rapat antara pihak polis dengan komuniti setempat melalui persatuan penduduk masing-masing untuk membanteras  jenayah dan ketagihan dadah.

9          Tingkatkan daya persaingan golongan belia

Berikan kursus inovatif yang dirangka khusus sesuai untuk orang muda yang tidak melengkapi pendidikan SPM untuk menghadiri akademi atau institusi teknologi dan membantu mereka membina kerjaya diri sendiri mulai dari perlatihan.

10  Menggalakkan belia berkecimpungan dalam bidang pertanian dan perniagaan pertanian dan berikan tanah kepada petani

Peningkatan penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian akan menolong meredakan masalah penuaan kaum petani (aging agriculture population) dan mengurangkan masalah pengangguran kaum belia. Ganjaran, latihan, bantuan dan tanah harus diberikan kepada petani muda untuk memulakan kerjaya dalam sektor pertanian. Tanah harus diberikan kepada petani yang tidak memiliki tanah.  

Memperbaiki kemudahan (infrasruktur) fizikal dan sosial  di desa dan luar bandar serta mewujudkan peluang pekerjaan dapat mengawal penghijrahan desa-bandar. Berikutan itu, hasil pertanian boleh ditingkatkan, justru mengurangkan pergantungan negara kepada makanan import dan isirumah  desa pada keluarga di pusat bandar, dan juga memastikan bekalan makanan yang mencukupi untuk  rakyat.       


No. 8 Jalan Indah 3 Taman Selayang Indah 68100 Batu Caves Selangor 012-2766551

No comments:

Post a Comment